Port Dickson dilanda ' Belalai Air'

Posted by Unknown

Port Dickson dilanda ' Belalai Air'
Gambar Dari MyMetro
Port Dickson: Fenomena angin puting beliung kecil di permukaan laut atau dikenali sebagai belalai air yang berlaku di perairan Pantai Batu 2, di sini, semalam, bukan saja menggemparkan penduduk bandar ini, malah turut menjejaskan aktiviti nelayan setempat.
Beberapa penduduk ditemui mengakui terkejut menyaksikan fenomena itu pada jam 9.30 pagi, namun bersyukur kerana ia hanya berlaku di kawasan laut.
Begitupun, beberapa nelayan setempat mengeluh kerana kebanyakan mereka yang sedang melabuhkan pukat di tengah laut terpaksa berpatah balik kerana bimbang dipukul ribut.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Nelayan Port Dickson Mohd Nor Sulaiman, 30, berkata, ketika kejadian dia dan bapa saudaranya, Awaludin Buyung, 53, sedang menunggu hasil tangkapan laut berhampiran Pulau Arang satu batu nautika dari Pangkalan Nelayan Port Dickson, di sini, sejak jam 7 pagi.
Katanya, tiba-tiba satu pusaran angin berlaku di permukaan laut dan menghasilkan puting beliung selebar 4.6 meter tidak jauh dari mereka menyebabkan kedua-duanya terpaksa bergegas pulang ke pangkalan kerana bimbang menjadi mangsa.

“Kami terkejut dan segera berkemas untuk pulang. Walaupun terkilan tidak dapat mencari rezeki hari ini (semalam), namun bersyukur kerana selamat pulang ke jeti. Biasanya kami dapat hampir RM200 sehari melalui jualan hasil laut,” katanya yang sudah menjadi nelayan selama 15 tahun.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Cuaca dan Iklim) Jabatan Meteorologi Malaysia Alwi Bahari berkata, puting beliung kecil itu akan berlaku jika ada ribut petir.

Katanya, fenomena pusaran angin yang terbentuk di permukaan air sering berlaku di kawasan iklim tropika.

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment