Menyusuri keajaiban dinding salji berukir

Posted by Unknown

Menyusuri keajaiban dinding salji berukir

Berdiri di tengah dinding salji setinggi 13 meter, menikmati sushi yang lazat, berdiri di atas empangan tertinggi di Jepun dan dikelilingi hutan tebal serta lembah yang indah, Wilayah Toyama menawarkan suasana menakjubkan.

Mudah diakses melalui rangkaian pengangkutan awam kereta api, menaiki kereta api konvensional yang selesa dan santai pasti membuatkan anda bagai dibuai dan mungkin tertidur.

Menjadi penumpang di atas kereta api peluru Max Toki 317, dengan kelajuan 240 kilometer (km) sejam, anda masih berkesempatan melihat desa yang tenang dan cukup mendamaikan.

Terletak 2,390 meter di atas paras laut, tarikan utama dan mesti dilihat adalah koridor salji Tateyama Kurobe Alpine Route.

Sewaktu musim bunga, kunjungan ke ‘Roof of Japan’ pastinya cukup mengujakan saat disambut dengan dinding salji indah yang diukir melalui salji padat, karya gabungan alam semula jadi dan kejuruteraan moden.
MELALUI laluan koridor salji Tateyama Kurobe bagaikan berada di alam kisah dongeng. 
EMPANGAN Kurobe bukti kejuruteraan Jepun yang hebat.

Tidak seperti beberapa koridor salji di seluruh dunia, tiada satu pun yang boleh dibandingkan dengan ketinggian dan keindahan di puncak Gunung Tateyama.

Tatkala berjalan sejauh 500 meter, ia akan membuatkan anda berasa seperti melangkah ke alam cerita dongeng ajaib dengan berdirinya dinding beku yang teguh di kedua-dua bahu jalan.

Perjalanan sejauh 37km di laluan Alp itu memberikan pengalaman pengembaraan yang pastinya sukar dilupakan.

Selain itu, oleh kerana kenderaan persendirian tidak dibenarkan ke puncak gunung, pelawat berpeluang menggunakan pengangkutan lain termasuk kereta api, bas ulang-alik, kereta kabel, bas troli terowong dan kereta kabel bawah tanah.

Pengalaman itu memberi peluang kepada pengunjung untuk menghargai sepenuhnya keajaiban musim sejuk, bukan saja di atas jalan tetapi juga dari udara dan bawah tanah.

Landskap yang indah itu membuatkan semuanya cukup menarik dengan pemandangan mempesona, bau salji yang segar serta landskap hijau yang subur dan bersih.

Sesuatu yang pastinya tidak boleh dilepaskan di sepanjang laluan Alp ini adalah satu lagi kehebatan kejuruteraan iaitu Empangan Kurobe.

Sebahagian daripada Taman Negara Chubu Sangaku, empangan ini boleh menampung 200 juta meter padu air dan ia adalah empangan tertinggi di Jepun pada paras 186 meter.

Berada di empangan ini, anda boleh mendaki 220 anak tangga ke dek pemerhati, mengetahui lebih lanjut mengenai sejarahnya atau menjamu selera di Dam Rest House.

Nikmatilah juga pemandangan menakjubkan puncak gunung yang disaluti salji ditambah dengan kehijauan pokok cedar berusia 1,000 tahun dan pokok beech yang pastinya mendamaikan hati anda.

Anda si pencinta alam semula jadi perlu membuat lawatan khas melalui Kurobe Gorge. Perjalanan bagaikan kembali ke masa silam saat menaiki kereta api yang terbuka.

Anda juga berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi serta gaung di bawahnya yang pasti memberikan anda satu pengalaman yang akan dikenang sampai bila-bila.

Keindahan pokok gunung hutan purbakala yang bertukar warna mengikut musim dan wap dari mata air panas semula jadi pula adalah sebahagian daripada pemandangan indah yang ditawarkan.

Capai kamera anda ketika melihat tebing, kanyon yang curam lagi tinggi dan air sungai Kurobe yang berkilau bak zamrud untuk merakam gambar sempurna, untuk merakam detik percutian yang akan diingati sampai bila-bila itu.

Puas melihat keajaiban alam dan keindahan alam semula jadi, satu lagi destinasi pelancongan popular dan harus dikunjungi saat berada di Toyama adalah Kilang Sushi dan Muzium Minamoto Masu-no.

Di sini, anda berpeluang melihat sendiri pakar membuat sushi trout tradisional dan menikmati sendiri keenakan hidangan terkenal Toyama.

Selesai mengalami keajaiban yang disajikan di Toyama, sebagai pelancong antarabangsa, anda harus menghabiskan masa di Tokyo Station City sebelum menempuh penerbangan panjang untuk pulang ke negara masing-masing.

Tokyo Station City ini bukan saja hab utama rangkaian pengangkutan kereta api Jepun tetapi ia juga adalah nadi utama ibu kota.

Anda pastinya akan kagum dan terpesona melihat bagaimana hab ini diselenggara dengan cekap dan bersepadu.

Seperti namanya, ia juga adalah salah satu kemudahan komersial terbesar di Jepun yang boleh memenuhi keperluan penumpang dan pelancong.

Selain menyaksikan 3,700 kereta api yang melawat stesen ini setiap hari, anda juga berpeluang untuk mengunjungi beberapa tingkat kedai yang terkenal.

Kedai yang menarik ini menjual segala-galanya daripada barang kecil dan murah untuk dijadikan hadiah, kuih, barangan runcit dan cenderahati sehinggalah barangan eksklusif bertemakan makanan ringan Tokyo Station City.

Tidak ada kekurangan kedai makanan di Tokyo Station City ini kerana terdapat banyak pilihan untuk anda menjamu selera.

Mula dibuka pada 1914, berkeluasan 182,000 meter persegi dan mempunyai sejumlah 380,000 pelawat setiap hari, bangunan disenaraikan sebagai bangunan bersejarah dan warisan itu juga menempatkan hotel yang megah, menawarkan 150 suite iaitu Tokyo Station Hotel.

Tokyo Station Hotel ini turut menawarkan bilik mesyuarat atau acara, restoran Spa Tokione yang mewah, kelab premium Jexer Fitness, Galeri Stesen Tokyo, pertukaran mata wang dan Pusat Perkhidmatan Perjalanan Timur JR dan banyak lagi.

Sumber dari myMetro

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment